Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat lulus usul kosong jawatan yang dipertua

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Usul kerajaan untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Mengumumkan keputusan undi berkenaan, Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon juga berkata seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

Usul itu dicadangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua.

Perdana Menteri dijadual membawa usul mencadangkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas ini.

-BERNAMA