Categories
AGENDA NASIONAL

Empat kes positif Covid-19 babit kes import

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat kes baharu Covid-19 hari ini iaitu kes import membabitkan tiga warganegara Malaysia dan seorang warga asing, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kes keseluruhan setakat ini 8,729 dengan kes aktif kebolehjangkitan 83.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi terdapat empat kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif individu sembuh di negara ini 8,524 kes,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata tiada pertambahan kes kematian sekali gus mengekalkan jumlahnya 122 kes bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KKM mengesan dua lagi individu positif Covid-19 dalam ‘Kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Novgorod’ hari ini.

“Satu adalah kontak rapat kepada kes indeks kluster ini iaitu kes ke 8,673. Beliau dikesan positif hasil daripada saringan dijalankan kepada kes sedia ada.

“Bagi kes kedua pula, individu adalah yang baharu iaitu kes import dari Rusia dan tiba di negara ini semalam. Beliau juga kontak rapat kepada kes ke 8,673 dan 8,718 di Novgorod, Rusia,” katanya.