Categories
SELANGOR

Ibarat dikelilingi lautan, mangsa banjir Dengkil masih terkejut

DENGKIL, 20 JULAI: Ibarat dikelilingi lautan, itulah gambaran diberi penduduk ketika kejadian banjir kilat di kuarters Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kota Warisan di sini.

Maizan Abdul Majid, 51, berkata sehingga kini, beliau masih tidak percaya kuarters yang didiami hampir empat tahun itu ditenggelami air.

“Selalunya banjir kilat di kuarters kami hanya mencecah paras buku lali sahaja, tapi kali ini seluruh kawasan ditenggelami air banjir, ibarat dikelilingi lautan.

Norhayati Wan Chik, 37 di Dewan SJK(C) Dengkil pada 20 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sehingga sekarang dimaklumkan rumah kami masih ditenggelami air banjir,” katanya ketika ditemui SelangorKini di pusat pemindahan sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Dengkil, di sini.

Bercerita lebih lanjut, warden AADK itu berkata kejadian bermula jam 7 pagi semalam.

“Pada waktu itu, saya dan isteri sangka banjir kilat biasa saja, tetapi air agak laju dan sehingga jam 10 air terus naik ke paras lutut.

“Kami kemudiannya dipindahkan ke pusat pemindahan bermula petang semalam apabila pihak berkuatkuasa mendapati air masih tidak surut,” katanya.

Sementara itu, Norhayati Wan Chik, 37, pula berkata banyak barang milik keluarganya tidak dapat diselamatkan kerana air banjir naik dengan cepat.

“Sebenarnya keadaan air banjir kali ini agak menakutkan sepanjang 13 tahun menetap di kuarters berkenaan, ketika air masuk ke dalam rumah, saya sempat selamatkan beberapa barang sahaja.

“Ketika membuka pintu utama, air masuk seperti tsunami ke dalam rumah, sekelip mata air dalam rumah melepasi paras pinggang, memang ia agak mengejutkan,” katanya.

Penempatan mangsa banjir di Dewan SJK(C) Dengkil pada 20 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sehingga kini seramai 274 mangsa ditempatkan di pusat berkenaan membabitkan 62 keluarga.

Selain SJKC Dengkil, enam lagi pusat pemindahan dibuka di Dengkil iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, SRA Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Kampung Jenderam Hilir dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang.

Turut dibuka ialah Dewan Orang Ramai Dengkil dan Dewan MPKK Timah Langat yang menempatkan warganegara Myanmar.

Kelmarin, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.