Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Imarah masjid dan surau, buka ruang 5,175 penceramah mengajar

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pembukaan semula masjid dan surau membolehkan 5,175 penceramah bertauliah di Selangor kembali mengajar dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata peluang ini harus digunakan untuk mengimarahkan semula rumah ibadat sebagai pusat perkembangan agama seperti sebelum ini, lapor Harian Metro.

“Pegawai masjid dan surau hendaklah menyediakan takwim yang seimbang berdasarkan tiga ilmu teras iaitu akidah, akhlak dan syariah,” katanya.

Beliau berkata, penceramah juga akan mengambil masa 10 minit untuk memberi penerangan mengenai SOP dalam usaha memerangi Covid-19 di kedua-dua lokasi ibadat itu setiap kali sebelum memulakan kuliah.

Mohd Shahzihan menjelaskan pengisian kuliah Maghrib, Subuh dan tazkirah Jumaat dibuat secara berkitab berbeza berbanding sebelumnya hanya secara umum.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini berkenan membenarkan semua masjid, surau dan musolla di negeri itu dibuka semula bermula 1 Julai lalu untuk mengadakan solat Jumaat dan solat lima waktu mengikut ketetapan oleh Jais.