Categories
AGENDA NASIONAL

Individu dikuarantin wajib perlu bayar RM4,700

SHAH ALAM, 28 JULAI: Individu yang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang dari luar negara perlu membayar kos RM4,700, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata rakyat Malaysia perlu membayar maksimum RM2,100, sementara kerajaan menanggung baki RM2,600.

“Bayaran ditanggung kerajaan ini termasuk kos pengangkutan dari pintu masuk sempadan ke stesen kuarantin.

“Turut ditanggung ialah kos makan minum serta peralatan perlindungan diri (PPE) petugas kesihatan, petugas keselamatan dan sekretariat serta kos pembersihan dan penyahtinjaan di stesen kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah polis melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan tatacara operasi piawai dipatuhi.”