Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKPP, polis tahan 71 individu

SHAH ALAM, 2 JULAI: Polis menahan 71 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 29 telah direman manakala 42 lagi dikompaun.

“Antara kesalahan dilakukan termasuk 34 terlibat dengan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, melanggar tatacara operasi piawai (14), pusat karaoke atau pusat hiburan (12), refleksologi (tujuh) dan kelab malam (empat),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 4,248 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,615 anggota membuat pemantauan di 4,117 pasar raya, 5,819 restoran serta 2,008 penjaja, 1,517 kilang, 3,881 bank dan 1,016 pejabat kerajaan semalam.

“Operasi itu turut memantau 1,263 terminal pengangkutan darat, 234 terminal pengangkutan air serta 120 terminal pengangkutan udara,” katanya.