Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: 76 individu ingkar PKPP dikenakan tindakan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Seramai 76 individu dikenakan tindakan semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 13 daripada mereka ditahan reman manakala 63 dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ialah melakukan aktiviti dalam kelab malam membabitkan 12 individu, aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial (52) dan aktiviti melanggar tatacara operasi piawai (SOP) (12),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata Operasi Benteng dilaksanakan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) berjaya menahan 10 warga asing.

“Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terbabit dengan kegiatan ini,” katanya.