Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: SOP sidang Parlimen diluluskan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan meluluskan tatacara operasi piawai (SOP) pelaksanaan Persidangan Parlimen bagi memerangi Covid-19.

Menteri kanan (keselamatan) berkata antara SOP yang dipersetujui ialah pemakaian pelitup muka, penyediaan cecair pembasmi kuman dan jarak sosial satu meter tempat duduk ketika persidangan berlangsung.

“Semua yang terlibat termasuk ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu menjalani proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata hanya ahli Parlimen dan pegawai dibenarkan masuk ke dewan persidangan manakala petugas media dan penjawat awam perlu berada di bangunan Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 25 hari mulai 13 Julai hingga 27 Ogos sementara Dewan Negara pula bersidang dari 2 September hingga 23 September (11 hari).