Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 di Indonesia kini 95,418, catat 4,665 kematian

JAKARTA, 24 JULAI: Kes positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat dengan 1,761 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 95,418 kes.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 89 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian di republik itu kini 4,665 orang.

Mengikut data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id, sebanyak 53,702 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,554 orang, diikuti Jakarta (755), Jawa Tengah (544), Sulawesi Selatan (290) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 19,946 kes, diikuti Jakarta (18,365) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

– BERNAMA