Categories
AGENDA GLOBAL

Kes positif Covid-19 di Indonesia lepasi 76,000, kematian 3,656

JAKARTA, 13 JULAI: Kes jangkitan Covid-19 di Indonesia mencatatkan penambahan 1,282 kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan menjangkau 76,981 kes setakat pukul 12 tengah hari tadi waktu tempatan.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata dalam tempoh sama, 50 lagi kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini seramai 3,656 orang.

“Sebanyak 13,439 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur kekal mencatatkan jumlah kes positif tertinggi keseluruhan iaitu sebanyak 16,877 kes, diikuti Jakarta (14,797 kes) dan selebihnya di 32 lagi provinsi lain.

Jawa Timur turut merekodkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,226 kes, diikuti Jakarta (697 kes), Jawa Tengah (240), Sulawesi Selatan (226) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

– BERNAMA