Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 23 kes baharu Covid-19, 17 jangkitan tempatan

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 23 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes 8,884 semuanya, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam daripada kes baharu yang dilaporkan mendapat jangkitan dari luar negara dan bakinya penularan tempatan.

“Kes import hari ini membabitkan empat orang warganegara dan dua warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan kerja dengan tiga daripadanya dari Singapura dan masing-masing satu Indonesia, Filipina dan Rusia.

“Daripada 17 kes penularan dalam negara, 10 adalah warganegara Malaysia di Sarawak (lapan) dan Johor (dua) manakala tujuh warga asing di Kuala Lumpur (satu), Selangor (dua) dan Johor (empat),” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata setakat 12 tengah hari tadi, 17 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan sembuh 8,594 kes.

“Sehingga kini, tiga kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Angka kematian akibat Covid-19 pula kekal sebanyak 123 orang atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.