Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan Kluster Rumah Warga Emas Kluang, 14 positif Covid-19

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor apabila 14 kes didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama kluster tersebut merupakan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan semalam iaitu kes ke-8,770.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, 39 orang disaring terdiri daripada 14 kes positif, 18 negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

“Daripada jumlah kes positif, 13 warganegara dan seorang warga Indonesia. Kes positif melibatkan 11 warga emas (iaitu penghuni rumah jagaan tersebut), satu pekerja dan satu ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata langkah pembendungan dan kawalan jangkitan dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan terbabit.

Sementara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menzahirkan kebimbangan susulan pertambahan 13 kluster baharu Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Katanya walaupun jumlah kes kekal rendah tetapi wujud kluster baharu seperti dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai lalu dan Kluster Stutong bermula Sabtu lalu.

Sejak 7 Julai lalu terdapat empat kluster baharu dikesan berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara iaitu kluster di Sarawak sebanyak tiga kes, kluster di Melaka (lima), kluster di Terengganu (tiga) dan kluster di Kuala Lumpur (dua).