Categories
AGENDA NASIONAL

KKM saring 3,387 individu, Kluster Pudu tamat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan Kluster Pudu berakhir selepas saringan ke atas 3,387 individu sehingga semalam dengan 80 kes didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata kes positif pertama kluster ini dikesan pada 10 Mei lalu susulan saringan dijalankan bagi pekerja hasil inisiatif majikan syarikat merangkumi 97.5 peratus bukan warganegara Malaysia.

“Antara warganegara terlibat adalah 69 daripada Bangladesh, Myanmar (tujuh) manakala masing-masing dua warga Indonesia dan Malaysia,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Kluster Pudu adalah kluster kediaman di Kuala Lumpur yang mula dikesan daripada saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan.

Beliau menjelaskan hasil siasatan mendapati faktor menyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19 adalah penginapan yang sesak dan mempunyai ruang sempit sekali gus mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial.

Beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran dilaksanakan di kawasan kluster ini dengan bantuan pelbagai agensi lain bagi menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan seterusnya langkah pembendungan penularan jangkitan.