Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Tiada cadangan mandatori pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak merancang mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah gelombang jangkitan ketiga Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekiranya ia dijadikan mandatori kerajaan berhak untuk menangkap individu tidak memakainya dan boleh didenda RM1,000 atau penjara jika gagal membayar kompaun.

“Kita tidak mahu guna kaedah itu tetapi sangat menggalakkan orang ramai menggunakannya terutama apabila berada di tempat awam atau mempunyai gejala,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Berhubung kesiapsiagaan Malaysia mengawal Covid-19, beliau berkata kementerian telah bersiap sedia dengan pelbagai kaedah sebelum pandemik itu merebak di negara ini.

“Apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan protokol ujian saringan Covid-19, kita bandingkan dan dapati kesiapsiagaan kita memang hampir sama dengan mereka.

“Malah, sebelum dapat pesakit pertama kita sudah sediakan 23 makmal untuk mengesan virus tersebut. Kerjasama semua antara kerajaan, swasta dan rakyat juga dipuji dalam mengawal kes penularan Covid-19 ini,” katanya.