Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki tempatan ditahan, dadah lebih RM100,000 dirampas

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM100,000 di ibu negara pada Khamis lepas.

Dalam operasi 11.20 malam itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menahan lelaki berusia 37 tahun terbabit di Jalan Stesen Sentral, Brickfields.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pemeriksaan terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan dua paket dadah jenis methamphetamine seberat 103.7 gram, dua akses kad dan satu rangkai kunci kereta.

“Hasil soal siasat, suspek kemudian membawa polis ke sebuah bilik hotel mewah di Jalan Stesen Sentral.

“Polis menemukan dadah jenis methamphetamine (2,242 gram), pil ekstasi (104.3 gram), pil erimin 5 (5.1 gram) dan ganja (8.4 gram) yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM112,720,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula 17 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

– BERNAMA