Categories
AGENSI SELANGOR

Lima keluarga mangsa kebakaran dapat bantuan Yide

SHAH ALAM, 11 JULAI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menghulurkan sumbangan kepada lima keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Changkat, Gombak pada 6 Julai lalu.

Agensi itu memaklumkan bantuan kewangan dan keperluan harian seperti selimut, tuala, baju serta kain bertujuan meringankan beban semua mangsa terbabit.

“Dua daripada rumah setinggan itu musnah sepenuhnya termasuk barangan peribadi serta dokumen penting malah mereka mengatakan wang tunai untuk bayaran pendahuluan rumah baharu juga hangus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sumbangan disampaikan Pegawai Kebajikan Yide, Muhammad Zubair Azizan dan disertai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Changkat, Rosli Abd Ghani.

Yide berkata buat masa ini sebuah keluarga terjejas sedang menghuni di Dewan Orang Ramai MPKK Kampung Changkat manakala empat lagi menumpang di rumah saudara-mara terdekat.

“Kita percaya, pihak berkaitan akan menyalurkan bantuan lain kepada mangsa terjejas terutama melibatkan baik pulih rumah,” katanya.

Difahamkan, tiada kemalangan jiwa dalam kejadian pada jam 10 pagi itu.