Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS hulur bantuan bulanan, daftar penyanyi To’ki jadi asnaf

SHAH ALAM, 2 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membantu penyanyi era 1990-an, To’ki yang kini hidup serba daif mendiami pondok dalam hutan di Batu 12, Gombak dekat sini.

Agensi tersebut dalam kenyataan memaklumkan perkara itu bagi meringankan beban penyanyi yang popular dengan lagu Biasan bersama isteri, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, selepas diusir dari rumah sewa di Kuala Lumpur sejak setahun lalu.

“Kami bercadang untuk membantu pasangan ini supaya didaftar sebagai asnaf fakir miskin sementara LZS selain diberi bantuan sewa rumah dan kewangan setiap bulan demi meneruskan kehidupan.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat menghilangkan sedikit keresahan yang mereka hadapi,” kata agensi tersebut menerusi Facebook.


Pada 10 Jun lalu, To’ki atau Mohd Zaki Mansor, 53, dan Sharifah Fairuz terlibat kemalangan jalan raya dalam perjalanan dari Gombak ke Pandan Indah yang menyebabkan pergerakan isterinya terbatas kerana mengalami patah tulang pinggul serta masih menjalani rawatan susulan di hospital.

Artis veteran turut dikenali menerusi lagu Naluri Cinta dan Seni Berzaman yang meletakkannya selaku juara kategori Irama Malaysia dalam Anugerah Juara Lagu pada 1993, mengakui pondok itu memberi ilham kepadanya untuk terus berkarya.