Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sasar 80,000 keluarga asnaf berdaftar tahun ini

SHAH ALAM, 17 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan 80,000 keluarga asnaf berdaftar dengan institusi itu menjelang akhir tahun ini susulan penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata unjuran 70,000 keluarga sebelum ini meleset susulan ramai yang hilang kerja dan pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tahun lalu keluarga asnaf termasuk fakir, miskin dan mualaf berdaftar dalam 60,000 lebih. Setakat Julai ini asnaf berdaftar sudah 62,000 keluarga dan ia akan meningkat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sistem e-Perjanjian hari ini.

Saipolyazan menambah, 27,000 individu yang terkesan akibat pandemik itu menerima bantuan khas antara RM300 hingga RM500.

“Dalam tempoh tiga hari permohonan dibuka 42,000 individu memohon dan kebanyakan mereka golongan B40 serta kerja sendiri. Mereka tidak ada kontrak (dengan LZS) namun memerlukan bantuan ketika itu,” katanya.

Mac lalu, LZS mengumumkan peruntukan berjumlah RM15 juta kepada asnaf, penjaja, peniaga dan keluarga B40. Bantuan itu turut diagihkan kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan dan pelajar institusi pengajian tinggi.