Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa banjir naik, Dengkil tambah pusat pemindahan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Satu lagi pusat pemindahan dibuka di Dengkil selepas jumlah mangsa banjir meningkat kepada 635 individu pagi ini.

Ketua unit pengurusan bencana negeri (UPNB) berkata Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Dato’ Ahmad Razali dibuka semalam yang menempatkan 53 mangsa.

“Setakat jam 8.30 pagi ini enam pusat pemindahan termasuk lima lagi iaitu Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Jenderam Hilir, Dewan Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil, SRA Dengkil dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil dibuka.

“UPNB menambah bilangan pam bergerak untuk menyedut air sekitar Sepang dan pam turut diaktifkan di Kuala Langat,” katanya kepada SelangorKini.

Kelmarin, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.

Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan tertinggi iaitu 22, Sepang (12), Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu di Klang.