Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB minta pengguna pelitup muka fabrik amal penjagaan betul

SHAH ALAM, 8 JULAI: Orang ramai yang menggunakan pelitup muka fabrik diminta mengamalkan penjagaan yang betul bagi memastikan keberkesanan fungsinya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelitup muka berkenaan antara item yang popular dalam kalangan masyarakat memandangkan corak dan warna digunakan menarik.

“Namun, pastikan anda mengamalkan cara penjagaan yang betul bagi memastikan ia berfungsi secara maksima,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin turut berkongsi cara penggunaan pelitup muka jenis itu seperti disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antaranya memastikan ia tidak rosak atau kotor, menutup keseluruhan hidung dan mulut selain menggunakan sabun pencuci ketika membasuh sekurang-kurangnya sehari sekali.

Ketika ini, pelbagai jenis pelitup muka dijual di pasaran selain ia direka dengan variasi bentuk dan warna namun peranannya tetap sama iaitu mencegah kemasukan partikel.