Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Patuh titah Sultan Selangor ketika solat jemaah di masjid, surau

SHAH ALAM, 1 JULAI: Dato’ Menteri Besar menggesa umat Islam di negeri ini mematuhi titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika melakukan solat jemaah di masjid atau surau.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata orang ramai perlu merujuk bilangan jemaah yang dibenarkan hadir di sesuatu rumah ibadat dengan melayari portal Jabatan Agama Islam Selangor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“DYMM Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau dibuka untuk mendirikan solat Jumaat dan fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) berkuat kuasa Jumaat ini,” katanya menerusi Facebook.

Hari ini, Sultan Sharafuddin berkenan membenarkan semua masjid dan surau di Selangor dibuka semula mulai 3 Julai ini bagi melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu.

Jumlah kehadiran jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya ditetapkan kepada 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK).

Bagi masjid lain maksimum jemaah 500 orang manakala jumlah kehadiran bagi surau pula ditetapkan kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK.