Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS cadang kutipan caj plastik syarat wajib mohon lesen niaga

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bercadang memasukkan program kutipan caj beg plastik sebagai syarat wajib memohon atau memperbaharui lesen perniagaan tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata cadangan dilampirkan dalam bil lesen yang membolehkan tindakan diambil sekiranya melanggar syarat tersebut.

“Tahun ini kita beri penerangan dan promosi dahulu kepada semua premis supaya program itu dijalankan menyeluruh di MPS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata sebanyak 127 premis perniagaan di kawasan pentadbirannya memohon menyertai program berkenaan setakat ini.

“Kita berharap pelaksanaannya membantu Kerajaan Negeri mewujudkan persekitaran bersih, sihat dan mesra alam serta merangka program kelestarian secara bersepadu dan holistik,” kata Mohamad Zin.

Selangor mengenakan caj 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik di pasar raya utama negeri itu sejak Januari 2016.

Kutipan diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) disalurkan ke Akaun Tabung Amanah Selangor dan Akaun Tabung Amanah PBT masing-masing bagi program berkaitan alam sekitar.