Categories
AGENDA NASIONAL

Muhammad Nizam dilantik presiden dan CEO Prasarana

SHAH ALAM, 19 JULAI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan Muhammad Nizam Alias dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana (CEO) yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Pelantikan Muhammad Nizam, yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) sejak 3 September 2018, diumumkan oleh Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam satu majlis malam tadi.

Tajuddin berkata pelantikan Muhammad Nizam juga bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini dipegang Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.

“Pelantikan Muhammad Nizam disokong sebulat suara oleh Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana, yang bermesyuarat baru-baru ini. Seluruh anggota Lembaga Pengarah mempunyai keyakinan penuh atas kepimpinan beliau sejak dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) dua tahun lepas.

“Dengan pengetahuan mendalam yang dimiliki beliau tentang pengurusan dan operasi Kumpulan Prasarana dan anak-anak syarikatnya, Muhammad Nizam adalah tokoh paling layak untuk memimpin organisasi yang diletakkan kepercayaan tinggi oleh kerajaan untuk memacu transformasi sistem pengangkutan awam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran U-Girder Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Majlis Makan Malam Pengerusi Kumpulan Prasarana bersama media, di sini.

Tajuddin berkata Muhammad Nizam mempunyai pengalaman luas dalam industri pengangkutan awam dan beliau sebelum ini berkhidmat dengan Kumpulan Renong dan Pos Malaysia Bhd.

“Beliau juga sememangnya tidak asing dengan Prasarana kerana pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada tahun 2008 ketika Prasarana bergelar Syarikat Prasarana Negara Berhad,” katanya

– BERNAMA