Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: Pemulangan wang 1MDB bukti salah laku, perlu diadili

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pemulangan wang oleh Goldman Sachs berjumlah RM16.6 bilion (USD3.9 bilion) membuktikan salah laku dan penyelewengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata sebanyak RM19 bilion dipulangkan setakat ini dan proses tersebut bermula selepas Barisan Nasional tumbang dalam pilihan raya umum 2018.

“Proses keadilan dalam isu 1MDB masih belum selesai dan mesti diteruskan hingga ke penghujungnya. Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Peguam Negara pada ketika itu yang memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia.

“Pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis Presiden berkata Kerajaan PAKATAN tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini untuk hanya memulangkan USD1.75 bilion, sedangkan jumlah yang dituntut ialah USD7.5 bilion.

Mereka turut menuntut semua watak utama dalam kes ‘scam’ 1MDB diadili di mahkamah termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat sebagai “MO1” dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan.

“Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja,” kata kenyataan itu lagi.