Categories
EXCO SELANGOR

Pelbagai kluster Covid-19 punca Selangor catat kes tertinggi

SHAH ALAM, 15 JULAI: Jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor kedua tertinggi di negara ini berpunca daripada kepelbagaian kluster, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata antara kluster terbesar ialah Kluster Petaling dan Kluster Hulu Langat sementara kluster paling lama ialah Kluster Depot Tahanan Imigresen di Sepang yang sehingga kini masih mempunyai kes aktif.

“Ketika awal penularan wabak, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Sepang merekodkan zon hijau. Tetapi selepas wujud pelbagai kluster, secara tiba-tiba jumlah jangkitan Covid-19 bagi kawasan berkenaan naik.

“Antara punca lain kita mencatat kes tertinggi ialah berpunca dari kepadatan penduduk di negeri sekali gus menyebabkan jangkitan berlaku lebih cepat, Selangor mempunyai 6.5 juta rakyat, dan sekiranya dibanding dengan nisbah kes, ia masih boleh dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Selangor merekodkan 2,093 kes Covid-19 dengan satu kes positif baharu.

Kini, lapan daerah termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Gombak merekodkan zon hijau sementara Sepang masih zon kuning dengan 11 kes aktif.

Pada masa sama, Kuala Lumpur merekodkan kes tertinggi di Malaysia dengan 2,446 kes, diikuti Selangor 2,093 dan Negeri Sembilan 1,027.