Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk sangsi kebolehan bakar semangat ketua kampung wanita

SHAH ALAM, 4 JULAI: Tempoh awal 100 hari menggalas tanggungjawab memimpin menjadi cabaran utama kepada lima wanita yang dilantik sebagai ketua kampung wanita di negeri ini buat julung kali pada 2018.

Rogiah Nordin, Ketua Kampung Bukit Kepong, Beranang berkata lumrah masyarakat yang lebih yakin lelaki mentadbir namun tidak mematahkan semangat sebaliknya kritikan penduduk menjadi pemangkin mereka menjalankan tanggungjawab dan amanah.

Bagi dirinya, pengalaman 10 tahun menjadi setiausaha ketua kampung sangat membantu dan kurang sebulan beliau mampu membuktikan kemampuannya sekaligus menolak persepsi negatif penduduk.

“Mulanya ramai yang mempertikaikan pelantikan hingga berjumpa penghulu mukim. Mereka tanya mengapa wanita..dah tak ada lelaki ke di kampung ini. Penghulu minta mereka bersabar dan minta tempoh tiga bulan untuk saya buktikan.

Ketua Kampung Bukit Kepong Beranang, Rogiah Nordin (kiri) semasa meninjau Sungai Sompo Bukit Kepong apabila tebing sungai runtuh pada 10 Julai 2019. Foto Sumber: Facebook MPKK Kampung Bukit Kepong

“Alhamdulillah. Kurang sebulan saya dapat selesaikan isu penebangan pokok besar yang menjadi masalah penduduk sejak beberapa tahun. Dari situ saya mula mengorak langkah mentadbir kampung. Penduduk terima dan hingga ke hari ini hubungan dengan penduduk rapat,” katanya ketika dihubungi.

Rogiah,59, berkata pengalaman mengikut mantan ketua kampung menguruskan penduduk serta masalah berbangkit membantu dirinya selain mendapat kerjasama baik Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Saya tahu asas.. bagaimana mohon bantuan, siapa perlu dijumpa. Jadi, ini memudahkan kerja saya dan membolehkan pembangunan kampung berjalan lancar. Prinsip saya pegang tak akan ada penduduk tercicir. Semua diberi perhatian,” katanya.

Beliau berpuas hati dengan prestasinya selepas berjaya membuka peluang perniagaan industri kecil sederhana untuk penduduk seperti penjualan rempeyek serta projek tanaman serai.

Ketua Kampung Bukit Kepong Beranang, Rogiah Nordin (tengah) bergotong-royong membersih balai raya untuk digunakan semula pada 24 Julai 2019. Foto Sumber: Facebook MPKK Kampung Bukit Kepong

“Masalah tebing sungai runtuh berhampiran rumah penduduk juga selesai. Lebih membanggakan apabila balai raya yang sudah 10 tahun terbengkalai dibaiki dan dibuka kepada orang awam.

“Saya juga meminta pasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan memantau aktiviti tidak bermoral bagi memastikan anak muda tidak tersalah langkah,” katanya.

Selangor muncul negeri pertama melaksanakan pengarusperdanaan gender untuk mempromosi hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita dengan lima dilantik ketua kampung untuk tempoh dua tahun bermula 2018.

Usaha tersebut digerakkan EXCO Pembangunan Luar Bandar Rodziah Ismail, EXCO Pemberdayaan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud, EXCO Perumahan Haniza Talha dan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.