Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengusaha taman tema, pusat rekreasi air di Selangor patuh SOP

SHAH ALAM, 10 JULAI: Tourism Selangor berpuas hati dengan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pengusaha taman tema dan pusat rekreasi air di negeri ini.

Penolong Pengurus Jabatan Strategik Korporatnya berkata tiada isu dilaporkan setakat ini selepas kawasan tarikan pelancong itu dibuka semula mulai 1 Julai lalu.

“Sehingga kini kita tidak mempunyai masalah terhadap pembukaan semula taman tema dan pusat rekreasi air terjun di negeri ini kerana semuanya masih mengikut SOP yang ketat,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan membenarkan taman tema termasuk taman tema air membuka semula operasi mengikut SOP iaitu memastikan penjarakan sosial, had pengunjung berdasarkan kapasiti ruang serta saiz taman tema.

Selain itu pengunjung perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan cecair pencuci tangan.

Antara taman tema air yang sudah dibuka kepada pengunjung di negeri ini ialah Sunway Lagoon, sementara pusat rekreasi air dibenarkan operasi ialah Taman Eko Rimba Kanching, Rawang dan Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat.