Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso lulus lebih 300,000 permohonan subsidi upah

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meluluskan 96.7 peratus atau 314,844 permohonan bagi Program Subsidi Upah setakat kelmarin, kata Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata sejak Program Subsidi Upah diperkenalkan pada 1 April lepas, pihaknya menerima 325,506 permohonan daripada majikan yang mewakili 2.66 juta pekerja.

“Kebanyakan aduan majikan yang sampai kepada saya adalah berkenaan bayaran subsidi yang masih belum dikreditkan.

“Sementara aduan lain termasuk terkurang atau terlebih bayaran dan juga rayuan terhadap permohonan yang ditolak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam menangani masalah yang dihadapi majikan, beliau berkata Perkeso mengambil langkah menubuhkan pasukan petugas untuk menyelesaikan isu permohonan yang ditolak dan mengadakan perbincangan dengan pihak bank mengenai isu ‘Business Registration Number’ (BRN).

-BERNAMA