Categories
AGENDA NASIONAL

PKR pecat ADUN Inanam

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua Teck Ho berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa bersama kumpulan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kasim, dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat pengesahan daripada Majlis Pimpinan Negeri Sabah tentang keberadaan Chua dalam blok yang didakwa berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah itu.

“Mengambil kira pendirian PKR bahawa pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak boleh dibenarkan berlaku, maka Lembaga Disiplin mengumumkan bahawa Kenny Chua Teck Ho dipecat daripada PKR berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Hari ini, Musa berkata beliau layak dilantik sebagai Ketua Menteri selepas mendakwa mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan baharu negeri.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri.

– BERNAMA