Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 165 individu ingkar PKPP, satu warga asing

SHAH ALAM, 5 JULAI: Polis menahan 165 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melalui hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 14 orang direman manakala 151 lagi dikompaun menerusi 61,727 pemeriksaan di seluruh negara semalam.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti pub atau kelab malam melibatkan 96 orang, melanggar tatacara operasi piawai (67) dan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (dua),” menteri kanan (kluster keselamatan) dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang warganegara asing kerana kesalahan imigresen menerusi 70 sekatan jalan raya Op Benteng dan memeriksa 47,782 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong tikus.

Secara keseluruhan pemantauan dilakukan di 3,786 pasar raya, 5,498 restoran serta 1,733 penjaja, 1,007 kilang, 3,569 bank dan 741 pejabat kerajaan.

Selain itu, 1,204 terminal pengangkutan darat, 259 terminal pengangkutan air serta 88 terminal pengangkutan udara juga dipantau Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.