Categories
AGENSI SELANGOR

PREC hilang pendapatan RM9.2 juta akibat PKP

SHAH ALAM, 4 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengalami penyusutan pendapatan kira-kira RM9.2 juta susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata ia berhubung kait dengan operasi di pusat membeli-belah termasuk aset di bawah pengurusannya seperti Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Wisma Yakin dan Menara Worldwide.

“Kita terkesan dengan kehilangan pendapatan daripada rebat sewa diberi kepada peniaga berjumlah RM2.8 juta selain perlu menanggung kos penyelenggaraan bagi memastikan barang milik penyewa dalan keadaan selamat dan kedai tidak dipecah masuk.

“Penganjuran Festival Ramadan Selangor (Festira) yang terpaksa dibatalkan juga menjejaskan pendapatan sebanyak RM6.4 juta termasuk penyewaan 1100 lot gerai di ketiga-tiga pusat membeli-belah berkenaan,” kata Fakru Radzi Ab Ghani kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini menanggung kos tambahan seperti penyediaan barang keperluan sanitasi, kekerapan pembersihan dan kos berkaitan sebagai mematuhi tatacara operasi piawai selain tidak termasuk tunggakan penyewa berjumlah RM5 juta.