Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Proses tambah baik di loji rawatan, 290 kawasan terjejas bekalan

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak 290 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai esok hingga 17 Julai ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan ia susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air dijalankan bermula jam 9 pagi esok.

“Proses ini melibatkan 91 lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis manakala bantuan ke perumahan dijangka mulai 16 Julai,” katanya.

Bagaimanapun, Air Selangor turut menasihatkan pelanggan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan guna air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

Agensi itu turut membuka lapan Pusat Khidmat Setempat dan sediakan enam pili air awam mulai 16 hingga 17 Julai bagi memudahkan pelanggan yang terjejas.

Untuk maklumat lanjut dan bantuan, pelanggan boleh menghubungi talian khas 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) serta laman sesawang Air Selangor : www.airselangor.com .

Pelanggan juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store bagi perkembangan semasa.