Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dijangka diurus niaga berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Ini berikutan pelabur akan memantau rapat perkembangan berkaitan Covid-19 serta pergerakan pasaran minyak, kata seorang penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata mata wang tempatan itu mungkin mencecah paras 4.25 berbanding dolar AS sekiranya terdapat penurunan dalam kes jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat.

“Peniaga tukaran asing merasakan lebih banyak permintaan untuk Sekuriti Kerajaan Malaysia minggu depan, jadi, mereka telah membeli ringgit hari ini (Jumaat) ketika nilainya turun,” kata beliau kepada Bernama.

Pegawai di seluruh AS melaporkan lebih daripada 59,000 kes pada Khamis, sekali gus mencatatkan rekod untuk satu hari kali keenam dalam tempoh 10 hari. Ini terutamanya disebabkan negeri-negeri di bahagian Selatan dan Barat, adalah antara yang pertama melonggarkan sekatan yang dikenakan semasa bermulanya gelombang virus itu pada musim bunga lepas.

Sepanjang minggu urus niaga, ringgit telah diniagakan kebanyakan tinggi, disokong oleh pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan harga minyak yang tinggi.

Pada 7 Julai, BNM telah menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 1.75 peratus, rekod terendah sejak 2004.

Penurunan OPR itu adalah ekoran kesan ketara pandemik Covid-19 ke atas ekonomi global dan ia merupakan penurunan kali keempat tahun ini, membawa jumlah 125 mata asas sejak bermulanya tahun ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) turut memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.

Berdasarkan kepada prestasi mingguan, ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat lebih tinggi berbanding dolar AS kepada 4.2650/2690 daripada 4.2840/2900 minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0648/0684 daripada 3.0718/0766 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.9931/9979 daripada 3.9855/9918.

Ringgit juga lega berbanding pound Britain kepada 5.3773/3845 daripada 5.3332/3423 Jumaat sebelumnya dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.8152/8210 daripada 4.8101/8185 sebelumnya.

– BERNAMA