Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit diniaga 4.2700 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong kenaikan harga minyak berikutan bekalan terhad di pasaran serta menjelang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) di mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, hari ini.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.2700/2780 berbanding dolar AS daripada 4.2750/2800 yang dicatat pada Isnin.

Harga minyak mentah Brent naik 0.09 peratus kepada US$43.14 setong, setakat pagi ini.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA Jeffrey Halley berpendapat bahawa BNM akan memotong 25 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 1.75 peratus.

“Ada kemungkinan mereka mengurangkan sehingga 50 mata kepada 1.50 peratus berikutan data inflasi yang mencecah negatif sebelum ini.

“Pemulihan ringgit sejak dua bulan lepas berkemungkinan akam turut mempengaruhi keputusan BNM,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, ringgit mencatat prestasi rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya, setakat ini.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0702/0770 daripada 3.0698/0745 semalam dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.9784/9870 daripada 3.9745/9803.

Ringgit juga rendah berbanding pound Britain kepada 5.3431/3535 daripada 5.34203500 serta susut berbanding euro kepada 4.8362/8457 daripada 4.8273/8347.

-BERNAMA