Categories
AGENDA

RM35 bilion tingkat utiliti Air Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sukuk Kelestarian Air Selangor akan diterbitkan bagi membiayai projek meningkatkan infrastruktur utiliti itu yang bernilai RM35.41 bilion dalam tempoh 30 tahun.

Dato’ Menteri Besar berkata nilai sukuk diterbitkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah pelaburan mampan dan bertanggungjawab itu berjumlah sehingga RM10 bilion dengan tempoh matang antara satu hingga 20 tahun.

“Hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian Air Selangor akan digunakan untuk membiayai projek infrastruktur air yang mesra alam antaranya menambahbaik baik fasiliti bekalan air sedia ada seperti lapan buah empangan, 33 loji rawatan air, paip sepanjang 28,713 kilometer (km), 1,577 kolam takungan dan 653 rumah pam.

“Di samping itu, pelaburan tersebut juga akan digunakan untuk projek-projek baru seperti pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa Dua.

“Adalah dianggarkan secara keseluruhan pelaburan yang akan terlibat bernilai sebanyak RM35.41 bilion untuk tempoh sepanjang 30 tahun manakala unjuran pembangunan untuk tahun 2020 adalah sebanyak RM429 juta dan bagi tahun 2021 diunjurkan sebanyak RM3.2 bilion,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan pakej rangsangan ekonomi Selangor 3.0 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Amirudin berkata penerbitan sukuk itu juga adalah sebahagian pelan perniagaan dalam tempoh tiga hingga 30 tahun Air Selangor, selaku pemegang lesen tunggal penyediaan air di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Air Selangor menerajui industri perkhidmatan air dalam usaha untuk bersama-sama mempertingkatkan dan memperkasakan industri bekalan air setanding operasi di negara maju,” katanya.