Categories
EXCO SELANGOR

Selangor lancar klinik usahawan bantu peniaga bermasalah

SHAH ALAM, 23 JULAI: Klinik Usahawan Selangor (KuSEL) dijangka dapat membantu 100,000 usahawan negeri ini berhubung pengurusan kewangan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata melalui program secara maya itu golongan berkaitan akan diberi nasihat serta kaunseling membabitkan kewangan dan penstrukturan hutang selain pandangan menyelesaikan masalah.

“Mereka boleh mengajukan soalan di laman sesawang khas bila-bila masa dan akan dijawab pegawai bertugas namun jika masalah rumit, mungkin memerlukan pihak KuSEL bertemu peniaga terbabit.

“Sehingga akhir tahun kita sasarkan penyertaan 800 usahawan bermasalah malah hari ini seorang sudah dibantu,” katanya selepas melancarkan KuSEL hari ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berucap pada majlis perasmian Klinik Usahawan Selangor di PKNS Bizpoint, Seksyen 7 Shah Alam pada 23 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

KuSEL adalah kerjasama Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Syarikat Arabian Gateway Technology (AGT).

Rodziah berkata, alternatif itu adalah landasan terbaik usahawan terjejas susulan penularan Covid-19 mendapatkan nasihat serta pandangan perniagaan.

“Secara tidak langsung KuSEL membantu Selangor mengumpul data usahawan sekali gus membolehkan pelan pembangunan dirangka mengikut kesesuaian situasi semasa,” katanya.