Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Subsidi baucar tarik pelancong domestik, capai sasaran enam juta

SHAH ALAM, 18 JULAI: Subsidi baucar pelancongan kepada premis perhotelan, taman tema dan inap desa berlesen mampu menarik minat lebih ramai pelancong domestik ke negeri ini, kata pengurus besar Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata insentif bernilai RM2 juta sekali gus dapat merealisasikan sasaran enam juta kemasukan pelancong domestik ke Selangor tahun ini bertepatan dengan visi ‘Reset Tourism’.

“Kita menyambut baik pengumuman pemberian baucar pelancongan termasuk insentif kepada pemandu pelancong, hos komuniti dan pengusaha inap desa yang jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membangunkan semula industri pelancongan.

“Saya yakin, sasaran baharu jumlah kedatangan pelancong ke Selangor dapat dicapai dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelancong domestik,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam pada itu, beliau berkata kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ yang memberi penekanan kepada pasaran pelancongan domestik semakin mendapat perhatian dan reaksi positif orang ramai.

“Bagi memperkasa kempen tersebut, kita menggunakan medium digital dan media sosial untuk hebahan promosi (pakej pelancongan) termasuk kolaborasi bersama media tempatan serta antarabangsa khususnya melalui penganjuran Media FAM Trip.

“Kita juga bekerjasama dengan penggiat industri bagi pembangunan pakej pelancongan baru dengan nilai tambah dan unik selain penganjuran acara pelancongan negeri mengikut skala serta kapasiti dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga mengumumkan insentif khas RM1,000 kepada pekerja sektor pelancongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan kesediaan Kerajaan Negeri menyalurkan subsidi baucar pelancongan bagi hotel, taman tema dan inap desa berlesen dalam kawasan pihak berkuasa tempatan berjumlah RM2 juta.