Categories
EXCO SELANGOR

Sukma: Peruntukan tambahan RM500,000 dipohon – Khairuddin

SHAH ALAM, 12 JULAI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memohon peruntukan tambahan RM500,000 daripada Kerajaan Negeri bagi persiapan kontinjen Sukan Malaysia (Sukma), kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata dana tersebut untuk pembayaran elaun jurulatih dan atlet serta kos sampingan lain susulan penundaan kejohanan pada tahun depan.

“Apabila Sukma ditunda sudah tentu berlaku tambahan kos, ia memang telah kita jangka. Buat masa ini peruntukan tambahan sebanyak itu cukup untuk menampung jurulatih dan atlet sehingga Sukma Johor yang dijadual bermula Mac 2021.

“Kita berharap semua atlet kekal fokus dan berusaha mengembalikan stamina dan prestasi selepas berehat panjang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada SelangorKini.

Pada 18 Jun Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya memohon peruntukan tambahan bagi memastikan khidmat 92 jurulatih dikekalkan sehingga Sukma berakhir.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.