Categories
AGENDA NASIONAL

Sumbangan GLC dijangka merosot kesan penularan wabak

SHAH ALAM, 16 JULAI: Sumbangan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijangka merosot tahun ini susulan dampak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedia berdepan situasi tersebut melalui pelan pemulihan yang dilaksanakan sepanjang tahun.

“Pada tahun lalu, Selangor menyasarkan sumbangan GLC sebanyak RM58 juta tetapi atas kekangan dan perkembangan semasa kita hanya terima RM47.51 juta sahaja.

“Susulan penularan wabak yang melanda, sumbangan GLC kepada Kerajaan Negeri dijangka menurun, jadi kita perlu buat penjajaran program rakyat,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung sumbangan GLC pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Amirudin berkata sumbangan GLC digunakan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya Program Tusyen Rakyat, WiFi Smart Selangor, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor, agihan lembu korban, insentif jemaah haji, Piala Sultan Selangor dan Tour De Selangor.