Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Termometer infra merah tidak membahayakan otak

BAGAN SERAI, 25 JULAI: Kementerian Kesihatan tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan kononnya penggunaan termometer dengan infra merah bagi menyukat suhu badan boleh membahayakan otak, kata Timbalan Menteri Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Katanya termometer yang ada sekarang mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) dan selamat digunakan pada dahi atau telinga manusia.

“Saya percaya alat yang kita gunakan adalah selamat kerana mendapat kelulusan pendaftaran daripada MDA,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan bahawa termometer dengan infra merah dikatakan berbahaya kepada otak lebih-lebih lagi apabila ia dihalakan ke bahagian dahi yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Sukarelawan Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Perak di Bukit Merah Laketown Resort di sini, hari ini.

Mengenai Kospen, Dr Noor Azmi berkata ia perlu diperkasakan dalam usaha mengurangkan jangkitan Covid-19 selain mencegah pelbagai penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

– BERNAMA