Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada aktiviti kokurikulum, pelajar digalak bawa makanan sendiri

SHAH ALAM, 1 JULAI: Semua aktiviti kokurikulum dan perhimpunan tidak boleh diadakan apabila sesi persekolahan dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata arahan itu kekal seperti diputuskan Majlis Keselamatan Negara dan sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.

“Buat masa ini pelajar datang ke sekolah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran sahaja,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media sama beliau turut menjelaskan makanan yang dijual di kantin juga perlu dibungkus terlebih dahulu dan waktu rehat dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, pengusaha kantin boleh menggunakan kaedah pratempahan dan dihantar terus ke kelas selain menggalakkan pelajar membawa makanan sendiri.

“Sekiranya pelajar ke kantin untuk membeli makanan, mereka perlu mematuhi penjarakan sosial. Sebab itu kalau kita lihat sudah ada tanda diletakkan bagi mengelak berlaku kesesakan,” katanya.