Categories
AGENDA NASIONAL

Urus niaga di Bursa Malaysia dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan, disokong oleh momentum belian yang menggalakkan, sekali gus meneruskan keuntungan yang diraih pada minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pencarta Kanan Maybank Investment Bank Nik Ihsan Raja Abdullah berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri minggu ini lebih kukuh.

Prestasi memberangsangkan ini telah berjaya menebus kembali semua kerugian sejak bermulanya tahun 2020, seterusnya merekodkan perolehan 1.73 peratus untuk tahun semasa hingga kini (y-t-d)

Indeks penanda aras ditutup pada 1,591.84, dibantu oleh minat belian kukuh untuk saham perbankan dan sarung tangan, menjadikannya antara indeks prestasi terbaik di rantau ini, kata beliau kepada Bernama.

Beliau berkata indeks penjagaan kesihatan terus mendahului sektor lain selepas mencatatkan keuntungan 4.25 peratus pada Jumaat dan 144.92 peratus y-t-d.

Secara teknikalnya, beliau berkata, Indeks FBM KLCI diniagakan melepasi 100 minggu garisan purata pergerakan pesat (EMA) untuk kali pertama sejak Oktober 2018.

“Meskipun diniagakan dalam zon terlebih beli, Indeks FBM KLCI masih lagi mempunyai ruang untuk bergerak ke arah paras halangan berikutnya iaitu antara 1,615 dan 1,635.

“Tahap sokongan semerta boleh dilihat pada paras 1,560 dan 1,540,” kata Nik Ihsan.

Bank Negara Malaysia minggu ini telah mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak tahun 2004.

Sementara itu, jumlah angka pemulihan yang tinggi pesakit Covid-19 dicatat oleh Malaysia boleh membawa sentimen positif. Ini akan menyaksikan lebih banyak aktiviti ekonomi dengan kebanyakan perniagaan akan kembali beroperasi.

Beliau menambah, kegelisahan yang membaluti pasaran AS juga boleh menjuruskan kepada aktiviti pengambilan untung dalam kalangan pelabur.

Untuk minggu lepas, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disokong oleh saham-saham kewangan serta belian kukuh untuk saham pembuat sarung tangan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks utama mengukuh 39.19 mata untuk mengakhiri urus niaga pada 1,591.84.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 298.78 mata kepada 11,206.81, Indeks FBMT 100 menambah 300.81 mata kepada 11,061.38, manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 329.57 mata kepada 12,811.95.

Indeks FBM 70 pula melonjak 489.15 mata kepada 13,816.85 dan Indeks FBM ACE melambung 434.84 mata kepada 7,175.65.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan lebih tinggi sebanyak 47.73 mata kepada 6,861.08, Indeks Kewangan naik 468.59 mata kepada 13,546.64 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 1.10 mata kepada 139.07.

Jumlah dagangan mingguan mengukuh kepada 47.26 bilion unit bernilai RM24.58 bilion daripada 31.31 bilion unit bernilai RM18.23 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengembang kepada 27.37 bilion saham bernilai RM20.36 bilion daripada 14.83 bilion saham bernilai RM14.39 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meluas kepada 3.34 bilion unit bernilai RM1.26 bilion daripada 2.49 bilion unit bernilai RM714.48 juta minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 16.54 bilion saham bernilai RM2.96 bilion daripada 13.98 bilion saham bernilai RM3.12 bilion sebelumnya.

– BERNAMA