Categories
AGENDA NASIONAL

24 komoditi pertanian miliki 100 peratus kadar sara diri

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Dua puluh empat daripada 42 komoditi pertanian terpilih merekodkan kadar sara diri (SSR) melebihi 100 peratus pada 2019, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

SSR menerangkan sejauh mana bekalan (pengeluaran) komoditi pertanian boleh memenuhi permintaan domestik.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata SSR yang mencapai 100 peratus atau lebih menunjukkan bekalan atau pengeluaran bagi sesuatu komoditi pertanian adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan dalam negara, dan sebaliknya jika SSR kurang daripada 100 peratus.

Bekalan bagi 11 buah-buahan terpilih pada 2019 adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan dengan SSR melebihi 100 peratus, dengan tembikai merekodkan SSR tertinggi sebanyak 161.3 peratus, diikuti betik (153.1 peratus) dan belimbing (132.8 peratus).

Bagaimanapun, statistik menunjukkan kadar kebergantungan import (IDR) adalah tertinggi untuk mangga (73.5 peratus) disebabkan oleh permintaan bagi pelbagai jenis mangga, katanya ketika membentangkan penemuan daripada kajian bagi Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih 2015-2019 yang dijalankan oleh DOSM.

Tujuh jenis sayur-sayuran terpilih mempunyai bekalan yang mencukupi untuk keperluan domestik iaitu tomato (131.2 peratus), terung (119.3 peratus), bayam (112.6 peratus), salad (112.5 peratus), timun (110.8 peratus), kacang panjang (107.0 peratus), dan bendi (104.4 peratus).

Begitu juga bagi dua daripada lima tanaman lain yang terpilih iaitu tebu (207.2 peratus) dan ubi kayu (100.1 peratus), manakala cili merekodkan nilai IDR tertinggi dengan 73.6 peratus.

Untuk kategori ternakan, SSR tertinggi adalah telur ayam/itik (113.6 peratus), manakala yang terendah adalah daging kambing (12.1 peratus), menjadikan kebergantungan import Malaysia ke atas kambing sangat tinggi pada 87.9 peratus.

DOSM melaporkan bahawa kobis bulat merekodkan penggunaan per kapita (PCC) tertinggi berbanding sayuran lain dengan penggunaan 5.3 kilogram setahun diikuti oleh sawi (4.4 kg/tahun) dan tomato (3.6 kg/tahun).

Tiga SSR melebihi 100 peratus untuk perikanan adalah sotong (109.2 peratus), udang (102.9 peratus) dan tuna (101.3 peratus). Permintaan terhadap mackerel juga tinggi dengan penggunaan 5.7 kg setahun diikuti udang (4.1 kg/tahun) dan Tuna (2.7 kg/tahun).

-BERNAMA