Categories
ADN SELANGOR

ADN: RM5,000 bantu pesakit tulang belakang jalani rawatan awal

SHAH ALAM, 20 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib menghulurkan bantuan RM5,000 kepada Thaneswari Segaram yang menghidap penyakit tulang belakang, Skoliosis.

Hasnul Baharuddin berkata ia bagi membolehkan remaja berusia 17 tahun itu menjalani rawatan awal di pusat perubatan kerana tulang belakangnya membengkok dan kelihatan seperti huruf ‘S’ menerusi imbasan sinar-X.

“Dianggarkan kos perubatan keseluruhan hampir RM13,000. Kita menasihatkan Thaneswari supaya menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) untuk menentukan keadaan sebenar serta rawatan sesuai termasuk alternatif,” kata Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor ketika dihubungi.

Skoliosis ialah istilah perubatan merujuk kepada keadaan tidak normal apabila tulang belakang seseorang membengkok ke kanan atau ke kiri.

Beliau menjelaskan keadaan itu menyebabkan Thaneswari tidak boleh berjalan secara normal dan mengganggu aktiviti hariannya selain mengalami masalah pernafasan, sakit sendi yang teruk serta pitam jika tidak dirawat.