Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Jangan samakan kes Guan Eng dengan Najib

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kes membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak boleh disamakan dengan kesalahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedua-dua kes berkenaan perlu diteliti berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan aspek politik.

“Ada orang samakan kes Guan Eng dengan Najib yang dah jatuh hukum. Guan Eng tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskannya.

“Saya bercakap bukan sebab dia sahabat saya. Saya tidak pertikaikan siasatan berhubung rumah mahupun terowong tetapi ini babitkan pendakwaan,” katanya ketika Majlis Jelajah Presiden ke Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini malam tadi.

Menegaskan KEADILAN menolak sekeras-kerasnya amalan pendakwaan terpilih, ketua pembangkang juga bimbang kes melibatkan Lim tidak telus dan berunsur politik.

“Kita harap siasatan Guan Eng dibuat tanpa sebarang motif politik atau penganiayaan. KEADILAN akan teliti kes ini lebih dekat,” kata beliau lagi.

Semalam, setiausaha agung DAP didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan 10 peratus keuntungan yang akan diperoleh daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setiap satu kes salah guna kuasa itu.

Bagi tiga kes pecah amanah, ahli parlimen Pekan dihukum 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan manakala 10 tahun lagi untuk setiap kesalahan pengubahan wang haram.

Semua hukuman dijalankan serentak, menjadikan tempoh sebenar hanya 12 tahun.