Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu harga minyak mentah dunia

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Bursa Malaysia melantun daripada aliran menurun minggu lepas untuk dibuka tinggi pagi ini, dipacu terutamanya oleh harga minyak mentah yang lebih baik dan harapan baharu untuk perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.02 mata kepada 1,565.61 daripada 1,564.59 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka 2.65 mata lebih rendah pada 1,561.94.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kembali positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 288 berbalas 162, manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,283 tidak diniagakan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 437.64 juta saham bernilai RM196.18 juta.

Naib Menteri Luar China Zheng Zeguang dilaporkan berkata hubungan China-AS amat penting pada masa ini dan usaha perlu dibuat untuk mengekalkan dan menstabilkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Seorang peniaga berkata ini mencetuskan harapan terhadap perjanjian perdagangan dengan jangkaan kajian semula ke atas perjanjian perdagangan fasa 1 yang sebelum ini ditangguhkan akan disambung semula.

Sementara itu, penanda aras minyak mentah Brent naik 0.42 peratus kepada AS$44.99 setong.

Bergerak ke hadapan terutama dalam dua minggu terakhir bulan ini, Malacca Securities Sdn Bhd percaya pelabur akan memberi tumpuan kepada kumpulan data pendapatan korporat yang dijangka suram secara keseluruhan, seiring dengan pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia minggu lepas.

“Walaupun kemeruapan pasaran masih lagi kekal, kami berpendapat sebarang penurunan sementara dalam sektor penjagaan kesihatan dan teknologi perlu dilihat kembali kerana permintaan yang kuat dan pengumuman pendapatan korporat daripada kedua-dua sektor berkenaan mungkin boleh mengatasi yang lain,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota di sini.

Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus dalam suku kedua 2020, kemerosotan dua digit tempoh sukuan paling buruk sejak 1998 berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan Covid-19 yang menyaksikan ekonomi hampir terhenti.

Pada suku keempat 1998, Malaysia merekodkan penguncupan dua digit 11.2 peratus. KDNK suku kedua negara tahun lepas ialah 4.9 peratus.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM7.81, Top Glove naik 24 sen kepada RM24.06, Tenaga meningkat dua sen kepada RM11.14, Hartalega lebih tinggi enam sen kepada RM16.08 tetapi Public Bank jatuh 14 sen kepada RM17.66.

Saham-saham paling cergas, Sapura Energy menambah satu sen kepada 12.5 sen, DGB meningkat setengah sen kepada enam sen, Iris menambah empat sen kepada 37 sen sementara Pegasus kekal pada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 14.06 mata kepada 11,158.59, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 32.1 mata kepada 12,947.28 dan Indeks FBMT 100 menokok 11.69 mata kepada 10,987.95.

Indeks FBM 70 meningkat 32.85 mata kepada 14,158.7 dan FBM ACE mengembang 112.33 mata kepada 9,721.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan lega 9.39 mata kepada 13,295.11, Indeks Perladangan jatuh 1.16 mata kepada 6,999.62 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan menambah 0.09 mata kepada 139.23.

-BERNAMA