Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 47 dibenar keluar hospital hari ini, jumlah sembuh meningkat

SHAH ALAM, 8 OGOS: Sebanyak 47 kes positif Covid-19 disahkan pulih dan dibenar keluar hospital hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan itu menjadikan kes sembuh mencecah 8,775 iaitu 96.8 peratus dari keseluruhan.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, tujuh kes baharu dilaporkan dengan satu penularan tempatan dikesan di Negeri Sembilan membabitkan individu pulang dari Indonesia pada Mei lalu.

“Daripada enam kes import, tiga melibatkan warganegara. Semua jangkitan masing-masing dari China, Yaman, Myanmar, Jepun, Pakistan dan Mexico,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan Covid-19 mencapai 9,070 kes dengan 170 kes aktif.

“Dua pesakit di unit rawatan rapi (ICU), seorang memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian baharu dan kes kumulatif kekal 125 kes iaitu 1.38 peratus,” katanya.