Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Dua kes penularan tempatan, tujuh daerah status hijau

SHAH ALAM, 12 OGOS: Selangor hanya merekodkan dua kes aktif penularan tempatan setakat ini manakala Sepang menjadi daerah ketujuh berstatus hijau.

Menurut Data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) daerah lain berstatus hijau ialah Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

Daerah Hulu Langat dan Petaling pula berstatus kuning dengan masing-masing satu kes manakala kes import aktif di Selangor sebanyak 26.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menggesa masyarakat sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian wabak.

“Hari ini tiada kes baru dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes Selangor kekal dengan 2,139. Tahniah warga Selangor.

“Teruskan momentum positif ini dengan mematuhi norma baharu dan jangan lupa ikuti SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) untuk mendapatkan perkembangan terbaru tentang bagaimana menjadikan premis anda lebih selamat,” katanya di Facebook.

Malaysia merekodkan sebanyak 11 kes baharu Covid-19 hari ini melibatkan lapan kes import dan tiga penularan tempatan menjadikan jumlah keseluruhan 9,114 kes dengan 172 daripadanya kes aktif.