Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Jangkitan dalam negara dan kluster baharu perlu dikawal

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 25 Julai hingga pukul 12:30 tengah hari 31 Julai .

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka 8,800 sementara di peringkat global, kes wabak ini mengatasi 17 juta dengan lebih 670,000 kematian. Sekitar 10.9 juta juta orang pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

 

KUALA LUMPUR: Kes penularan tempatan dua angka masih berlaku meskipun ada catatan satu angka untuk beberapa hari sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini dengan kemunculan kluster baharu yang diibaratkan sebagai “bara yang sedang membakar.”

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah pada Isnin 27 Julai itu turut diiringi kemungkinan berlaku gelombang ketiga Covid-19 di negara ini sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Kes penularan tertinggi, 28 kes direkod pada Selasa 28 Julai daripada keseluruhan 39 kes pada hari yang sama.

Kes penularan tempatan kedua teringgi direkodkan pada Sabtu 25 Julai iaitu 17 kes daripada jumlah 23 kes sementara Ahad, 26 Julai, 10 kes daripada 13 kes. Kes penularan tempatan satu angka dicatat untuk Isnin 27 Julai, tiga (3) daripada tujuh (7) kes, lima (5 kes) daripada 13 kes pada Rabu 29 Julai.

Malaysia pernah mencatat sifar kes penularan tempatan pada 1 Julai, 8 Julai dan 9 Julai.

Sehingga pukul 12 tengah hari 30 Julai, sebanyak lapan (8) kes baharu Covid-19 dilaporkan, iaitu lima (5) kes penularan dalam negara yang kesemuanya melibatkan warganegara Malaysia.

Tiga lagi adalah kes import (mendapat jangkitan di luar negara), melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini.

Kes-kes import itu adalah dari Kazakhstan (1 kes di Selangor), Indonesia (1 kes di Kedah) dan Filipina (1 kes di Sabah).

Ini menjadikan jumlah kes posiif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,964 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 223 kes, berbanding 63 kes direkod pada 9 Julai.

Sehingga kini, terdapat tiga (3) kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 124 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Lagi perkembangan Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berucap pada Majlis Sesi Libat Urus Media bersama Ketua Pengarah Kesihatan “Kesiapsiagaan KKM Dalam Menangani Pandemik Covid-19” di Kementerian Kesihatan pada 29 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Kluster baharu ibarat sebagai bara yang sedang membakar, dan kalau kita tidak patuh SOP ibaratnya kita ini sebagai bahan api.

“Jadi jika bara berjumpa dengan bahan api maka merebak menjadi satu kebakaran yang besar iaitu kes akan meningkat secara mendadak,” demikian tegas Dr Noor Hisham, yang diharap dapat membuka mata rakyat di negara ini supaya patuh kepada SOP yang diumumkan kerajaan termasuk menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka.

Peningkatan kes penularan tempatan membuatkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam serta tempat awam yang sesak, berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Kerajaan juga mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan, berkuatkuasa 24 Julai 2020.

Sepanjang rangkuman minggu ini, terdapat beberapa kluster baharu yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada Sabtu 25 Julai – Kluster Bukit Tiram, di sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor dan Kluster Syarikat Pembinaan Kuching.

Pada Selasa 28 Julai – Kluster PUI (Pesakit Di Bawah Pemantauan) Sivagangga, India dan Kluster Satok, Kuching.

Dr Noor Hisham pada Khamis 30 Julai mengumumkan setakat ini terdapat 24 kes baharu yang masih aktif tetapi tidak ada kes baharu yang dilaporkan. Antaranya, Kluster Mambong (Sarawak) dan Kluster Sentosa (Kuching,Sarawak).

Sementara itu, Kluster Bukit Bintang yang melibatkan Wilayah Persekutuan dan Selangor adalah kluster ke 69 yang ditamatkan. Kluster ini mencatatkan 11 kes positif (10 kes bukan warganegara dan satu kes warganegara) tanpa melibatkan sebarang kes kematian.

Peningkatan kes baharu Covid-19 sejak kebelakangan ini turut membuatkan Dr Noor Hisham pada sidang media Khamis 23 Julai, mengingatkan tentang kedudukan “R-naught” semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Jun dengan keadaan semasa.

R0 (R naught) adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.

Pengawal keselamatan memeriksa suhu badan pengunjung pusat beli-belah di Bangkok pada 4 Februari 2020. Foto AFP

Covid-19 “R-naught” kini meningkat dari 0.3 semasa PKP (Jun) kepada 1.36. Dr Noor Hisham menegaskan, jika R-naught meningkat, ini bermakna lebih ramai orang akan dijangkiti dan sekiranya ia meningkat kepada 1.6 daripada 1.36 sekarang, Malaysia akan berdepan dengan peningkatan kes yang mendadak.

WHO dan situasi global

Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai Covid-19.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan alu-aluan pada taklimat media dari Geneva, Switzerland mengenai Covid-16 pada 27 Julai lepas berkata pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk.

Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

Menurut Dr Tedros, hampir 16 juta kes sudah dilaporkan kepada WHO setakat ini dengan lebih daripada 640,000 kematian dicatat dan pandemik Covid-19 terus merebak.

“Sewaktu saya mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam itu pada 30 Januari 2020 – peringkat darurat tertinggi di bawah undang-undang antarabangsa, hanya terdapat kurang daripada 100 kes di luar China dan tiada kematian. Sejak enam minggu lalu, jumlah kes sudah bertambah dua kali ganda.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri sidang akhbar selepas persidangan antarabangsa mengenai penyelidikan vaksin Covid-19 di Geneva pada 12 Februari 2020. Foto AFP

“Berdasarkan keperluan Peraturan Kesihatan Antarabangsa, saya akan memanggil mesyuarat Jawatakuasa Darurat penghujung minggu untuk menilai kembali pandemik. Covid-19 telah merubah dunia kita. Bukan sahaja pandemik ini menyatukan negara bahkan juga membuatkan negara tersisih.

“Selepas enam bulan pengisytiharan Darurat Kesihatan Awam, pandemik Covid-19 menunjukkan kesihatan bukan ganjaran pembangunan, tetapi ia adalah asas kestabilan sosial, ekonomi dan politik, ” kata beliau.

Statistik global Covid-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 17,474,691 kes (15,673,511 kes rangkuman minggu lalu) dan 676,759 kematian (minggu lepas 636,848 kematian) . Jumlah pesakit sembuh ialah 10,937,771 orang.

Amerika Syarikat terus mengekalkan tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak Covid-19 dengan 4,634,985 kes berbanding 4,169,991 kes pada minggu lepas dan 155,285 kematian berbanding 147,333 minggu lepas. Kes positif Covid-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Januari.

Jumlah kes Covid-19 turut meningkat di Brazil yang di tangga kedua minggu ini iaitu 2,613,789 kes (minggu lalu 2,289,951 kes) dengan 91,377 kematian (minggu lalu 84,207 kematian). India di tempat ketiga dengan 1,639,350 kes (minggu lalu 1,290,284 kes) dengan 35,786 kematian (minggu lalu 30,657 kematian), sementara Rusia merekod 834,499 kes ( minggu lalu 800,849 kes) dengan 13,802 kematian ( minggu lalu 13,046 kematian ).

Di samping empat negara di atas, terdapat 20 buah negara (berbanding 19) yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19, seperti berikut:-

Afrika Selatan 482,169 kes (7,812 kematian), Mexico 416,179 kes (46,000 kematian), Peru 407,492 kes (19,021 kematian), Chile 353,536 kes (9,377 kematian), Sepanyol 332,510 kes (28,443 kematian), United Kingdom 302,301 kes (45,999 kematian), Iran 301,530 kes (16,569 kematian), Pakistan 277,402 kes (5,924 kematian), Colombia 286,020 kes (9,810 kematian), Arab Saudi 277,042 kes (2,842 kematian), Itali 247,158 kes (35,132 kematian), Bangladesh 234,889 (3,083 kematian), Turki 229,891 kes (5,674 kematian), Jerman 209,663 kes (9,221 kematian), Perancis 186,573 kes (30,254 kematian), Argentina 185,373 kes (3,441 kematian), Iraq 121,263 kes (4,671 kematian ), Kanada 115,799 kes (8,929 kematian), Qatar 110,460 kes (171 kematian) dan Indonesia 106,336 kematian (5,058 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-29 dengan 84,292 kes ( minggu lalu 83,750 kes ) dan 4,634 kematian (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia sudah menyertai senarai 24 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19, dengan 106,336 kes dengan 45,058 kematian.

Filipina di tempat kedua dengan 89,374 kes (minggu lalu 76,444 kes) dengan 1,983 kematian. Singapura pula merekodkan 51,809 kes berbanding 49,373 kes minggu lalu. Angka kematian kekal 27.

Pelajar memakai pelitup muka selepas pemerintah Indonesia membuka kembali sesi persekolahan dengan melaksanakan proses pembelajaran secara bersemuka di tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19 di Bekasi, di pinggiran Jakarta, Indonesia pada 13 Julai 2020. Foto REUTERS

Ini diikuti oleh Thailand dengan 3,304 kes (minggu lalu 3,279 kes) dan angka kematian masih 58.

Sementara itu, kes Covid-19 di Vietnam meningkat kepada 509 kes berbanding 412 kes minggu lalu. Bagaimanapun, kekal sifar kematian. Myanmar turut merekod kenaikan kepada 353 kes berbanding 343 kes minggu lalu dengan angka kematian kekal enam (6).

Sementara itu, tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) dan Laos mencatat satu kes baharu kepada 20 kes dan sifar kematian.