Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Lima kes import, empat kes tempatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kes baharu Covid-19 di negara ini kembali kepada satu digit dengan sembilan jangkitan dilaporkan membabitkan lima kes import dan empat penularan tempatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 9,103 dan 169 aktif dengan kebolehjangkitan.

“Tiga kes import adalah warganegara Malaysia dan dua warga asing masing-masing mendapat jangkitan dari Jepun (Kuala Lumpur), India (Kuala Lumpur), Pakistan (Kuala Lumpur), New Zealand (Selangor) serta Singapura (Johor).

“Empat kes penularan dalam negara adalah warga asing membabitkan tiga kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum dihantar pulang ke negara asal dan satu kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak enam pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,809 kes atau 96.7 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif maut akibat Covid-19 kekal 125 kes,” katanya.